TOPIK 4: KEPIMPINAN DAN ORGANISASI
Menurut
Kamus Dewan Edisi ke-4, kepimpinan bermaksud keupayaan memimpin. Kepimpinan adalah
seni untuk mempengaruhi tingkah laku manusia, kemampuan untuk membimbing orang,
mempengaruhi dan membimbing seseorang demi mencapai tujuan tertentu. Seterusnya,
menurut Robbin dan Coulter (1999), ‘Organisasi sebagai satu aktiviti kolektif
yang dirancang oleh dua orang atau lebih yang mengandungi pembahagian buruh dan
autoriti berhierarki untuk mencapai matlamat secara bersama’ (ms.2). Terdapat beberapa
peringkat organisasi, iaitu eksekutif, pengurusan, penyeliaan, teknikal, dan
pelaksanaan. Dalam topik ini lebih berfokuskan kepada organisasi sekolah dalam
membantu pengurusan untuk mencipta sebiah keadaan yang efektif. Kepimpinan dan
organisasi di sekolah melibatkan pengetua, penolong kanan, penolong kanan hal
ehwal murid, penolong kanan kokurikulum, guru bimbingan dan kauseling, guru
kelas, guru serta pelajar.
Selain itu, terdapat beberapa isi
penting yang telah saya pelajari dalam topik ini, iaitu gaya kepimpinan. Gaya kepimpinan
ini terdiri daripada empat jenis, iaitu autokratik, demokratik, kotigensi, dan
laissez-faire. Gaya kepimpinan autokratik lebih mengutamakan kehendak kerja dan
menyelesaikan tugas. Pemimpin jenis ini lebih mementingkan kedudukan dan akan
menggesa orang bawahannya untuk menyempurnakan tugasan mengikut arahan yang
telah diberikan. Gaya kepimpinan ini melibatkan komunikasi satu hala dan
penentuan dasar, pelaksanaan pentadbiran dan aktiviti-aktiviti mengikut
keputusan pengetua. Seterusnya, gaya kepimpinan demokratik adalah lebih
berkesan daripada gaya kepimpinan yang lain. gaya ini lebih bersifat terbuka
dan memberi serta menerima pandangan orang lain. Proses untuk membuat keputusan
akan lebih cepat kerana keputusan dicapai atas persetujuan majoriti.
Bukan itu sahaja, gaya kepimpinan
laissez-faire dilihat banyak memberi kebebasan kepada orang bawahan. Gaya ini
kurang unsur-unsur kawalan dan pemimpinnya kurang memberi pandangan. Pendek kata,
pemimpin yang mengamalkan gaya kepimpinan laissez-faire lebih digelar sebagai
pemerhati senyap. Manakala, gaya kepimpinan kotigensi lebih mengikut keperluan
atau keadaan yang mana kepentingan mengikut kepada penganalisisan. Gaya kepimpinan
ini juga sentiasa berubah mengikut situasi dan mempunyai kaitan dengan faktor
seperti persekitaran, teknologi dan orang-orang yang terlibat.
Di samping itu, topik ini juga
mengupas mengenai kepimpinan guru yang dapat dibahagikan kepada dua, iaitu
kepimpinan bilik darjah dan kepimpinan pengajaran. Kepimpinan guru di bilik
darjah berperanan dalam mengurus diri sendiri dan berkomunikasi dengan orang
lain untuk menyampaikan visi kepada murid-murid. Terdapat beberapa ciri
kepimpinan bilik darjah, iaitu membina kefahaman dan visi diri dan pelajar,
menilai hasil kerja, mencungkil potensi pelajar, menyampaikan visi kepada
pelajar dengan berkesan dan mencipta persekitaran pembelajaran yang
menggalakkan. Kepimpinan pengajaran pula merangkumi kepimpinan instruksional,
kurikulum, dan pendidikan. Ciri-ciri kepimpinan pengajaran adalah seperti
rangka dan menjelaskan matlamat kepada komuniti sekolah, mengurus kurikulum,
memantau kemajuan pelajar, mengawal waktu pembelajaran, keterlibatan, galakan
peringkat guru professional dan memberi insentif, iaitu hadiah atau ganjaran.
Konklusinya, daripada perbincangan
di atas, kepimpinan adalah proses yang mana seseorang individu itu mempengaruhi
anggota-anggota lain dalam kumpulannya ke arah mencapai matlamat yang dituju. Dalam
erti kata lain, kepimpinan ialah proses yang sangat berkaitan dengan pengaruh
yang mana seseorang itu berjaya mempengaruhi mereka yang dipimpin supaya
mengubah sikap dan tingkah laku mereka. Tegasnya, pemimpin memimpin dan dipimpin
kerana kepimpinan ialah tenaga penting di sebalik kejayaan dalam organisasi.
RUJUKAN
A.L.Ramaiah.
(1999). Kepimpinan Pendidikan Cabaran
Masa Kini (Edisi Baru). Petaling Jaya:
IBS Buku Sdn. Bhd.
Dr. Norasmah Othman & Kamaruzaman Moidunny. (2012). Kepimpinan Pendidikan dan Pengurusan Pendidikan: Cabaran kepada Guru Besar dan Pengetua. Diperoleh daripada http://kamaruzamanmoidunny.blogspot.com/2012/09/kepimpinan-pendidikan-dan-pengurusan.html?m=1
Dr. Norasmah Othman & Kamaruzaman Moidunny. (2012). Kepimpinan Pendidikan dan Pengurusan Pendidikan: Cabaran kepada Guru Besar dan Pengetua. Diperoleh daripada http://kamaruzamanmoidunny.blogspot.com/2012/09/kepimpinan-pendidikan-dan-pengurusan.html?m=1
Hajah
Noresah Binti Baharom. (2015). Kamus Dewan
(Edisi ke-4). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
Dan Pustaka.
No comments:
Post a Comment