Monday, 15 April 2019

TOPIK 2: INTERAKSI DAN PEMBELAJARAN

TOPIK 2: INTERAKSI DAN PEMBELAJARAN

Sesi pembelajaran diteruskan dengan topik ‘Interaksi dan Pembelajaran’. Secara umumnya, interaksi bermaksud saling tindakan yang berlaku antara sekurang-kurangnya dua pihak. Interaksi terdiri daripada kata inter (hantar), dan aksi (kegiatan). Jadi, interaksi adalah kegiatan timbal balik yang mana selalu dikaitkan dengan istilah komunikasi atau hubungan. Menurut Zahra (1996:91), “Interaksi merupakan kegiatan timbal balik. Interaksi belajar dan mengajar adalah suatu kegiatan sosial antara pelajar dan guru”. Tambahan pula, pembelajaran boleh didefinisikan sebagai perolehan maklumat dan pengetahuan, penguasaan kemahiran dan tabiat serta pembentukan sikap dan kepercayaan. Pendek kata, interaksi dalam pembelajaran membawa maksud satu jalinan hubungan di antara guru dan pelajar.

            Terdapat beberapa isi penting yang perlu diketahui dan dipelajari dalam tajuk ini. Antaranya ialah interaksi dalam bilik darjah. Interaksi ini bererti tindakan yang sering berlaku antara sekurang-kurangnya dua pihak, iaitu guru dan pelajar. Guru yang cemerlang semestinya akan menggalakkan pelajarnya untuk berinteraksi sama ada dengan guru atau sesama rakan yang lain semasa proses P&P. Hal ini dikatakan demikian kerana interaksi aktif sesama pelajar mampu melatih mereka untuk berdikari, malah dapat mewujudkan suasana pebelajaran yang lebih berkesan. Interaksi bilik darjah ini juga boleh berlaku dalam dua bentuk, iaitu secara lisan atau bukan lisan. Selain itu, menurut Shahabuddin et.al. (2010), terdapat beberapa bentuk interaksi bilik darjah, iaitu interaksi sehala, interaksi dua hala, interaksi kumpulan, dan interaksi sosial.

            Interaksi yang pertama ialah interaksi sehala (guru dan pelajar). Interaksi ini merupakan kaedah mengajar dengan menggunakan cara yang lama atau pasif. Hal ini kerana, pelajar dipaksa untuk menerima apa sahaja ilmu yang disampaikan oleh guru tersebut. Interaksi ini, guru lebih mengamalkan pendekatan jenis autokratik yang mana pelajar tidak mempunyai kuasa untuk memberi idea mengakibatkan pemikiran pelajar tidak dapat dikembangkan. Kedua, interaksi dua hala yang mana sering berlaku pada sesi soal jawab, hafazan atau sebagainya di dalam bilik darjah. Guru banyak mendorong pelajar untuk aktif menyoal bagi mengeluarkan pendapat. Ketiga, interaksi kumpulan yang bertujuan untuk menggalakkan penyertaan aktif pelajar dalam proses P&P. Interaksi ini berlaku apabila terdapat aktiviti kumpulan seperti perbincangan, simulasi, dan sebagainya. Interaksi sebegini mampu memupuk nilai positif seperti toleransi, berkerjasama dan sebagainya. Guru tidak akan terlibat dalam sesi perbincangan ini, namun hanya memainkan peranan sebagai pemudahcara kepada para pelajar. Interaksi terakhir ialah interaksi sosial. Dalam konteks bilik darjah, pendekatan ini lebih menekankan aktiviti secara berkumpulan. Hal ini bertujuan untuk mewujudkan interaksi sosial.

            Namun begitu, selain daripada kelima-lima interaksi yang dinyatakan, interaksi berkesan juga merupakan interaksi yang berlaku apabila mesej oleh penyampai diterima oleh pendengar. Terdapat beberapa cara yang boleh diamalkan oleh guru untuk mewujudkan interaksi berkesan. Antaranya, bersikap positif dan percaya kepada pelajar, bersifat ramah dan mesra, dan sebagainya. Bukan itu sahaj, kemahiran komunikasi juga merupakan aspek penting dalam sesebuah interaksi. Komunikasi ialah pengaliran maklumat dari sumber pengeluar maklumat kepada sumber penerima maklumat. Terdapat beberapa bentu komunikasi tamsilnya, komunikasi lisan (bahasa, dialek, intonasi suara), komunikasi tanpa lisan (senyuman), komunikasi persuratan dan visual. Namun begitu, terdapat juga halangan ketika berkomunikasi seperti sikap penyampai, suasana persekitaran, emosi, dan sebagainya.

            Tuntasnya, interaksi yang berkesan dapat mengeratkan hubungan antara guru dengan pelajar bukan sahaja di dalam bilik darjah tetapi juga di luar bilik darjah. Interaksi berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran adalah aspek penting kerana interaksi merupakan proses utama bagi guru menyampaikan ilmu kepada pelajar. Jika guru mempratikkan dan memanfaatkan segala kebaikan interaksi, pasti dapat meningkatkan prestasi bukan sahaja guru malahan para pelajar dan pihak sekolah.

Rujukan

Amir Hasan Dawi. (1999). Penteorian sosiologi dan pendidikan. Tanjung Malim: Quantum         Books.

Che Nidzam Che Ahmad, Saidatul Ainoor Shahanim & Asmayati Yahaya. (2016). Kesesuaian Persekitaran Pembelajaran, Interaksi Guru-Pelajar, Komitmen Belajar dan Keselesaan Pembelajaran dalam Kalangan Pelajar Biologi. Jurnal Pendidikan Sains & Matematik Malaysia, 6(1), 101-120. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/publication/311807343_KESESUAIAN_PERSEKITARAN_PEMBELAJARAN_INTERAKSI_GURU-PELAJAR_KOMITMEN_BELAJAR_DAN_KESELESAAN_PEMBELAJARAN_DALAM_KALANGAN_PELAJAR_BIOLOGI

Diperoleh daripada
http://pengurusanpembelajaran13a.blogspot.com/2018/11/interaksi-dan-pembelajaran.html

Diperoleh daripada https://www.google.com/url?sa=t&source=web&rct=j&url=https://missugliest.blogspot.com/p/bab-2.html%3Fm%3D1&ved=2ahUKEwiYpbStocjhAhUX3o8KHYhDCRAQFjAAegQIAxAB&usg=AOvVaw1lIjabZJ14DULJAKRr-oRw

Diperoleh daripada https://www.google.com/url?sa=t&source=web&rct=j&url=https://remiefarizf.wordpress.com/2018/12/27/bab-2-interaksi-dan-pembelajaran/amp/&ved=2ahUKEwjutPnso8jhAhUB5bwKHXHQA904FBAWMAV6BAgDEAE&usg=AOvVaw1Nkm_buip79Swl5l6B904q




TOPIK 1: SOSIOLOGI DAN PEMBELAJARAN








KPS 3014


PENGURUSAN PEMBELAJARAN

TUGASAN INDIVIDU








NAMA: NURSAFIQAH BINTI KAHARUDDIN

NO. MATRIKS: D20181082467

SEMESTER: 2

KUMPULAN: J

NAMA PENSYARAH:  EN. ZAHARI BIN SUPPIAN













Thursday, 11 April 2019

TOPIK 3: KAJIAN PENGURUSAN DAN PEMBELAJARAN PELAJAR


TOPIK 3: KAJIAN PENGURUSAN DAN PEMBELAJARAN PELAJAR

Pengurusan bermaksud proses merancang, pengorganisasian, memimpin dan mengawal semua ahli organisasi secara cekap dan berkesan bagi mencapai matlamat organisasi. Dalam dunia serba moden ini, aspek pengurusan adalah satu perkara yang tidak dapat dipisahkan manusia. Pengurusan merupakan satu proses sosial selaras dengan perkembangan manusia di sekelilingnya. Oleh itu, kajian pengurusan dan pembelajaran pelajar membincangkan mengenai pengurusan pembelajaran dan kajian-kajian pembelajaran pelajar. Ia juga memberi kesedaran tentang kepentingan pengurusan dan pembelajaran serta perspektif multidisiplin pengurusan pembelajaran dan konsep-konsep sosiologi pembelajaran.

Secara umumnya, multidisiplin merujuk kepada kepelbagaian bentuk yang dialami dalam melaksanakan pendidikan di dalam sesebuah negara seperti bidang ekonomi, agama dan sains. Terdapat beberapa ilmuwan yang telah membincangkan tentang multidisiplin seperti Santa Fe Instate dan Murray Gell. Di samping itu, terdapat juga tokoh-tokoh yang membicarakan tentang kajian-kajian pengurusan pembelajaran pelajar termasuklah Muhammad Bustaman dan Abd Rahman Rashid. Antara kajian yang dijalankan bagi meningkatkan standard kualiti pengurusan pembelajaran termasuklah pengurusan masa guru yang berkesan, kaedah pembelajaran semasa, teknik pengajaran yang sesuai dengan keadaan semasa dan sukatan buku teks. 

Selain itu, terdapat juga pelbagai konsep yang dapat dijelaskan dalam bab ini. Antaranya konsep mengawal, merancang, pengalaman, dan mengarah. Secara umunnya, konsep mengawal ialah bagaimana seorang guru mengawal peraturan bilik darjah, mengawal aktiviti kumpulan, mengawal murid yang bermasalah, dan mengawal suasana bilik darjah. Pendidik seharusnya tahu tentang bagaimana untuk merekabentuk persekitaran kelas yang tertumpu pada pembelajaran (Emmer & Evertson, 2003). Oleh itu para pendidik perlu bijak merancang, melaksanakan pelbagai kegiatan pengajaran dan pembelajaran, mengawal peraturan yang telah digariskan serta membentuk kumpulan dan mengawal serta menjana perubahan tingkah laku yang baik. Konsep merancang pula adalah untuk merancang objektif pembelajaran berdasarkan sukatan pelajaran dan pengetahuan sedia ada murid, merancang strategi dan kaedah pengajaran yang efektif dan sebagainya. Manakala, konsep mengarah diklasifikasikan seperti mengarah murid supaya menumpukan perhatian kepada pengajaran dan sebagainya. Selain itu, pengalaman dapat dikaitkan pembelajaran dengan pengalaman sedia ada pelajar seperti sesi soal jawab.

Bukan itu sahaja, topik ini juga membincangkan mengenai pengurusan dan pembelajaran pelajar yang berkesan. Terdapat tiga jenis pengurusan dan pembelajaran yang efektif, iaitu keperluan fisiologi, pengurusan masa dan iklim bilik darjah. Setiap guru perlu mengetahui keperluan fisiologi pelajar seperti tahap pembelajaran, keluarga, tingkah laku, dan emosi. Dari aspek pengurusan masa membolehkan pelajar menjalankan pembelajaran dengan masa yang sama dan jadual waktu perlu mengambil kira kebolehan pelajar. Sebagai pendidik, mereka perlu peka dengan masa supaya mengelakkan pembaziran. Iklim bilik darjah juga memainkan peranan penting dalam pengurusan dan pembelajaran yang berkesan. Sebagai contoh, pencahayaan yang cukup, perabot yang selesa dan mencukupi serta aliran udara yang baik dan lancar. Seterusnya, terdapat beberapa kaedah pengurusan dan pembelajaran pelajar yang dapat dibincangkan dalam topik ini. Pertama, pendekatan pengurusan dan pembelajaran yang berkait dengan model, prinsip dan teori pembelajaran. Kedua, dengan menggunakan kaedah set induksi yang baik dan mampu menarik minat pelajar. Ketiga, dengan menggunakan kaedah demonstrasi bagi melaksanakan strategi berpusatkan pensyarah.

Kesimpulannya, pendidik merupakan harta bernilai kepada sesebuah institusi pendidikan. Mereka bukan sahaja bernilai dalam memberikan pendidikan kepada pelajar, malah berupaya untuk menjadi rujukan dan pemangkin dalam pembentukan pakar yang lain. Oleh itu, setiap pendidik perlu belajar untuk mengubah dirinya agar sentiasa menjadi bertambah baik, sentiasa berketerampilan dalam pengalaman dan berpengetahuan dalam bidang keilmuan lain selain dari mahir dalam bidang keilmuannya.

Emma Safwanah Sahirin. (2015). Pengurusan dan Pembelajaran Pelajar [Slaid]. Diperoleh           daripada https://www.slideshare.net/1232747313/pengurusan-dan-pembelajaran        pelajar-kps3014

Khairul Azhar Mat Daud, Md. Baharuddin Abdul Rahman & Mohd Ali Samsudin. Kajian Tentang Tahap Pembelajaran Terarah Melalui Sistem Pengurusan  Pembelajaran Berorientasikan Pelajar. Diperoleh daripada https://www.google.com/url?sa=t&source=web&rct=j&url=http://umkeprints.umk.edu.my/2849/1/artikel%2520Teniat%2520FTKW.pdf&ved=2ahUKEwjHpv_Hm8jhAhVT-WEKHfPXALg4ChAWMAx6BAgCEAE&usg=AOvVaw3sKHuBPTP3T7juJgiv3hcx

Mastor Surat & Muhammad Arif Baharum. (2012). Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran       Berkesan untuk Pelajar dan Program Pengajian Senibina dengan merujuk kepada      Pandangan Psikologi Pendidikan. Jurnal Personalia Pelajar, 15, 51-59. Diperoleh       daripada http://www.ukm.my/personalia/wp-content/uploads/2015/06/Jurnal-6.pdf


Tang Swee Mei & Lim Kong Teong. (2002). Hubungan Antara Kualiti Pengajar dan Pembelajaran dengan Kepuasan Pelajar: Satu Tinjauan, 3(1), 67-85. Diperoleh daripada https://www.google.com/url?sa=t&source=web&rct=j&url=http://repo.uum.edu.my/427/1/Tang_Swee_Mei.pdf&ved=2ahUKEwjHpv_Hm8jhAhVT-WEKHfPXALg4ChAWMA56BAgFEAE&usg=AOvVaw2qHy_Ppli3H7ljis-p6uu1

TOPIK 4: KEPIMPINAN DAN ORGANISASI


TOPIK 4: KEPIMPINAN DAN ORGANISASI

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, kepimpinan bermaksud keupayaan memimpin. Kepimpinan adalah seni untuk mempengaruhi tingkah laku manusia, kemampuan untuk membimbing orang, mempengaruhi dan membimbing seseorang demi mencapai tujuan tertentu. Seterusnya, menurut Robbin dan Coulter (1999), ‘Organisasi sebagai satu aktiviti kolektif yang dirancang oleh dua orang atau lebih yang mengandungi pembahagian buruh dan autoriti berhierarki untuk mencapai matlamat secara bersama’ (ms.2). Terdapat beberapa peringkat organisasi, iaitu eksekutif, pengurusan, penyeliaan, teknikal, dan pelaksanaan. Dalam topik ini lebih berfokuskan kepada organisasi sekolah dalam membantu pengurusan untuk mencipta sebiah keadaan yang efektif. Kepimpinan dan organisasi di sekolah melibatkan pengetua, penolong kanan, penolong kanan hal ehwal murid, penolong kanan kokurikulum, guru bimbingan dan kauseling, guru kelas, guru serta pelajar.

            Selain itu, terdapat beberapa isi penting yang telah saya pelajari dalam topik ini, iaitu gaya kepimpinan. Gaya kepimpinan ini terdiri daripada empat jenis, iaitu autokratik, demokratik, kotigensi, dan laissez-faire. Gaya kepimpinan autokratik lebih mengutamakan kehendak kerja dan menyelesaikan tugas. Pemimpin jenis ini lebih mementingkan kedudukan dan akan menggesa orang bawahannya untuk menyempurnakan tugasan mengikut arahan yang telah diberikan. Gaya kepimpinan ini melibatkan komunikasi satu hala dan penentuan dasar, pelaksanaan pentadbiran dan aktiviti-aktiviti mengikut keputusan pengetua. Seterusnya, gaya kepimpinan demokratik adalah lebih berkesan daripada gaya kepimpinan yang lain. gaya ini lebih bersifat terbuka dan memberi serta menerima pandangan orang lain. Proses untuk membuat keputusan akan lebih cepat kerana keputusan dicapai atas persetujuan majoriti.

            Bukan itu sahaja, gaya kepimpinan laissez-faire dilihat banyak memberi kebebasan kepada orang bawahan. Gaya ini kurang unsur-unsur kawalan dan pemimpinnya kurang memberi pandangan. Pendek kata, pemimpin yang mengamalkan gaya kepimpinan laissez-faire lebih digelar sebagai pemerhati senyap. Manakala, gaya kepimpinan kotigensi lebih mengikut keperluan atau keadaan yang mana kepentingan mengikut kepada penganalisisan. Gaya kepimpinan ini juga sentiasa berubah mengikut situasi dan mempunyai kaitan dengan faktor seperti persekitaran, teknologi dan orang-orang yang terlibat.

            Di samping itu, topik ini juga mengupas mengenai kepimpinan guru yang dapat dibahagikan kepada dua, iaitu kepimpinan bilik darjah dan kepimpinan pengajaran. Kepimpinan guru di bilik darjah berperanan dalam mengurus diri sendiri dan berkomunikasi dengan orang lain untuk menyampaikan visi kepada murid-murid. Terdapat beberapa ciri kepimpinan bilik darjah, iaitu membina kefahaman dan visi diri dan pelajar, menilai hasil kerja, mencungkil potensi pelajar, menyampaikan visi kepada pelajar dengan berkesan dan mencipta persekitaran pembelajaran yang menggalakkan. Kepimpinan pengajaran pula merangkumi kepimpinan instruksional, kurikulum, dan pendidikan. Ciri-ciri kepimpinan pengajaran adalah seperti rangka dan menjelaskan matlamat kepada komuniti sekolah, mengurus kurikulum, memantau kemajuan pelajar, mengawal waktu pembelajaran, keterlibatan, galakan peringkat guru professional dan memberi insentif, iaitu hadiah atau ganjaran.

            Konklusinya, daripada perbincangan di atas, kepimpinan adalah proses yang mana seseorang individu itu mempengaruhi anggota-anggota lain dalam kumpulannya ke arah mencapai matlamat yang dituju. Dalam erti kata lain, kepimpinan ialah proses yang sangat berkaitan dengan pengaruh yang mana seseorang itu berjaya mempengaruhi mereka yang dipimpin supaya mengubah sikap dan tingkah laku mereka. Tegasnya, pemimpin memimpin dan dipimpin kerana kepimpinan ialah tenaga penting di sebalik kejayaan dalam organisasi.

RUJUKAN

A.L.Ramaiah. (1999). Kepimpinan Pendidikan Cabaran Masa Kini (Edisi Baru). Petaling Jaya: IBS Buku Sdn. Bhd.

Dr. Norasmah Othman & Kamaruzaman Moidunny. (2012). Kepimpinan Pendidikan dan Pengurusan Pendidikan: Cabaran kepada Guru Besar dan Pengetua. Diperoleh daripada http://kamaruzamanmoidunny.blogspot.com/2012/09/kepimpinan-pendidikan-dan-pengurusan.html?m=1

Hajah Noresah Binti Baharom. (2015). Kamus Dewan (Edisi ke-4). Kuala Lumpur: Dewan          Bahasa Dan Pustaka.

Moejiano Imam. (2002). Kepimpinan dan Keorganisasian. Jogjakarta: UII Press.


Raja Roslan. (2003). Komunikasi Kepemimpinan dalam Organisasi: Analisis Konsep dan Amalan dalam Tiga Organisasi Terpilih (Disertasi Kedoktoran). Diperoleh daripada


TOPIK 2: INTERAKSI DAN PEMBELAJARAN

TOPIK 2: INTERAKSI DAN PEMBELAJARAN Sesi pembelajaran diteruskan dengan topik ‘Interaksi dan Pembelajaran’. Secara umumnya, interaksi b...