Wednesday, 10 April 2019

TOPIK 14: PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN


TOPIK 14: PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN

Menurut Noradanisha (2012), pengurusan boleh ditakrifkan sebagai satu seni bagi melaksanakan proses kerja yang terancang dan dilaksanakan secara bersistematik, teratur serta mempunyai garis panduan tertentu. Ini bermakna sesuatu tugas dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui pengurusan. Hal ini dikatakan demikian kerana pengurusan merupakan satu seni atau budaya yang tersusun dalam melaksanakan bidang tugas individu sesebuah organisasi. Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, pembelajaran dapat didefinisikan sebagai perihal atau proses belajar. Pembelajaran juga bermaksud satu proses memperoleh pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai yang baru. Pengurusan alam pembelajaran yang sistematik di sekolah amat penting dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar dan berkesan.

            Berdasarkan topik ini, terdapat beberapa isi penting yang terkandung iaitu, persediaan ke alam persekolahan, kajian di sekolah, aksi guru di sekolah dan refleksi. Dari aspek persediaan ke alam persekolahan telah menekankan mengenai peranan guru sebagai pemimpin. Guru perlulah menjadi pemimpin yang mudah didekati kerana ianya boleh memberi keselesaan kepada pelajar untuk belajar. Dari aspek pengurusan alam pembelajaran ini juga bukan hanya tertumpu kepada guru sahaja yang menjadi pendidik tetapi perlu diteliti juga oleh murid-murid. Hasilnya, sesi pembelajaran dalam kelas dapat berjalan dengan lancar.

            Selain itu, aksi guru di sekolah juga memainkan peranan dalam memastikan alam pembelajaran berlaku dengan lebih berkesan. Salah satunya mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran. Pada umumnya, strategi pengajaran terbahagi kepada tiga jenis, iaitu strategi pemusatan kepada guru, murid atau bahan. Pemusatan strategi yang dipilih adalah tidak tetap kerana boleh diubah-ubah mengikut keadaan semasa murid. Guru di sekolah mestilah mempunyai strategi yang tersendiri dalam menarik minat pelajar. Guru mestilah menyemaikan sifat yang berunsurkan kebersamaan dalam berkomunikasi dengan pelajar. Selain itu, mempelbagaikan kaedah pengajaran juga merupakan salah satu carayang biasa diamalkan seperti kaedah kumpulan, koperatif, inkuiri, perbincangan, perbincangan, kuliah dan sebagainya. Guru perlulah mendalami pelbagai kecenderungan kaedah pengajaran yang disukai oleh pelajar. Seterusnya, peranan kognitif dalam pengajaran dan pembelajaran. Keupayaan kognitif harus diperkaya melalui pelbagai teknik pengajaran. Fungsi kognitif seperti persepsi, memori bahasa dan pemikiran berkomunikasi, penaakulan, membuat keputusan dan aspek kecerdasan, emosi dan kesedaran adalah antara topik yang menyentuh pembelajaran. Beberapa komponen telah dikenal pasti dalam pengajaran dan pembelajaran, iaitu motivasi guru, ilmu pengetahuan subjek yang diajar, kesediaan pelajar dari segi mental dan sosioemosi serta bahan bantu mengajar yang berkesan.

            Bukan itu sahaja, dalam mengurus alam pembelajaran di sekolah, Rancangan Orientasi Sekolah (ROS) amat diperlukan. Hal ini bertujuan untuk memberi peluang dan pendedahan awal kepada guru pelatih dalam memahami situasi di sekolah sebagai institusi pendidikan dan peranan guru dalam bilik darjah. Rancangan ini terbentuk berasaskan pendekatan perkembangan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan bakal guru yang cemerlang. Terdapat beberapa aspek yang ditekankan dalam Rancangan Orientasi Sekolah (ROS), iaitu suasana pengajaran dan pembelajaran, kemahiran mengajar dan pengurusan dan kemudahan fizikal dan peralatan.

Setelah mempelajari tajuk ini, saya dapat membuat refleksi bahawa peranan guru pada masa kini semakin mencabar dan para guru perlualah menguasai semua aspek pengurusan secara menyeluruh dalam mengurus para pelajar, bilik darjah, dan sekolah. Pengurusan alam pembelajaran ini perlu dititikberatkan oleh para guru supaya minat pelajar dapat dipupuk dan sekaligus meningkatkan prestasi pelajar-pelajar tersebut. Jadi, tugas guru sebagai seorang pengurus di dalam kelas adalah sangat penting. Hal ini dikatakan demikian kerana kecekapan guru dalam menjalankan tugas sebagai pengurus akan dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih berkesan.

RUJUKAN


Fakulti Psikologi dan Pendidikan. Buku Panduan Rancangan Orientasi Sekolah (ROS). Universiti Malaysia Sabah. Diperoleh daripada www.ums.edu.my/.../PORTFOLIO_RANCANGAN_ORIENTASI_SEKOLAH_ROS.p...

Naziratul Asyikin Mohd Sam. (2009). Pengurusan Alam Pembelajaran. Diperoleh daripada

Norfazila Binti Abdul Malik (2013), Penerapan Ciri-Ciri Guru Berkesan dalam Proses Pengajaran dan Pembelajaran Semasa Latihan Mengajar dalam Kalangan Pelajar Sarjana. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Diperoleh daripada  http://eprints.uthm.edu.my/4186/1/NORFAZILA_BINTI_ABDUL_MALIK.pdf 

Raedah Binti Md Amin (2013), Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Sekolah Rendah          Kebangsaan di Zon Bandar Daerah Kota Tinggi. Universiti Teknologi Malaysia.            Diperoleh daripada            http://Eprints.Utm.My/Id/Eprint/39043/1/Raedahmdaminmfp2013.Pdf

No comments:

Post a Comment

TOPIK 2: INTERAKSI DAN PEMBELAJARAN

TOPIK 2: INTERAKSI DAN PEMBELAJARAN Sesi pembelajaran diteruskan dengan topik ‘Interaksi dan Pembelajaran’. Secara umumnya, interaksi b...