Thursday, 11 April 2019

TOPIK 9: PENGURUSAN TINGKAH LAKU


TOPIK 9: PENGURUSAN TINGKAH LAKU

Tingkah laku merupakan tindakan manusia yang boleh diperhati, diukur dan dinilai serta sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, secara sedar atau separa sedar. Tingkah laku adalah manifestasi fizikal sebarang sikap yang berasaskan nilai-nilai tertentu. Menurut Garry Martin dan Joseph Pear (2003),  tingkah laku merangkumi aktiviti, aksi, prestasi, bertindak balas, tindakan, dan reaksi dari segi teknik, aktiviti yang melibatkan otot-otot, kelenjar (glandular) dan aktiviti elektrik oleh setiap organ. Pada dasarnya, tingkah laku adalah apa sahaja yang diperkatakan atau dilakukan oleh individu. Carl Rogers (1999), menekankan bahawa seseorang individu bertingkah laku mengikut persepsi diri sendiri dan keadaan. Sekiranya individu itu mempunyai konsep kendiri yang positif maka dia berupaya berinteraksi dan bertindak dengan lebih yakin. Menurut Al-Ghazali pula dari perspektif Islam, tingkah laku manusia mempunyai tujuan agama dan kemanusiaan.Tingkah laku normal dan tidak normal adalah berdasarkan kepada kekerapan dan berlaku sepanjang masa dan mempunyai masalah psikologi.

            Secara umumnya, pengurusan tingkah laku boleh ditakrifkan sebagai satu rancangan untuk memodifikasikan tingkah laku bermasalah ke satu matlamat yang telah ditetapkan dengan teknik yang sesuai. Setiap guru mesti ada satu bentuk sistem pengurusan tingkah laku mengawal kelas, pembelajaran yang sihat dan produktif. Dalam proses modifikasi tingkah laku, guru mesti mengikut langkah-langkah yang berikut, antaranya membuat pemerhatian awal dan penilaian terhadap sesuatu tingkah laku bermasalah, mengenal pasti dan menetapkan matlamat tingkah laku yang di ingini, menunjukkan tingkah laku yang betul serta memberikan ganjaran untuk tingkah laku yang positif secara konsisten. Manakala tingkah laku negatif, guru perlu membuat pemantauan dan penilaian serta menyimpan rekod salah laku murid sebagai bahan rujukan guru.

            Selain itu, topik ini juga mengupas mengenai pengurusan devian dan salah laku. Menurut Kamus Dewan (2003), tingkah laku devian didefinisikan sebagai perlakuan yang menyimpang atau melencong. Azizi et.al (2005), menyatakan bahawa tingkah laku devian membawa maksud tingkah laku yang melanggar norma - norma masyarakat tertentu. Ianya juga ditakrifkan sebagai sebarang tingkah laku yang tidak memahami norma - norma sosial sesuatu kumpulan atau masyarakat (Rohana, 1996). Terdapat beberapa jenis devian, iaitu inovasi, ritual, undur dan menentang. Inovasi adalah memenuhi matlamat dengan cara yang salah. Contohnya, pelajar meniru dalam peperiksaan untuk mendapatkan markah yang tinggi. Ritual pula merupakan tindakan mengulang-ulang suatu perbuatan seperti pelajar ulang-ulang tingkah laku kecewa dengan sesuatu. Undur pula melakukan alternatif lain setelah tidak berminat dengan matlamat asalnya. Misalnya, pelajar ponteng sekolah kerana kecewa dengan pelajarannya. Menentang pula menolak matlamat persekolahan dengan mengantikan matlamat yang lain. Tamsilnya, datang ke sekolah bukan untuk belajar tetapi mencuri. Jadi, masalah ini perlu ditangani dengan menguatkuasakan peraturan sedia ada berkaitan salah laku pelajar di sekolah, memaklumkan kepada ibu bapa berkaitan perilaku devian pelajar, rekod kesalahan pelajar, dan sebagainya.

            Bukan itu sahaja, topik ini juga membincangkan mengenai beberapa pekeliling ikhtisas dan peraturan sekolah yang boleh diambil bagi menangani masalah ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pekeliling bermaksud surat rasmi tentang sesuatu perkara yang diedarkan untuk pengetahuan umum, manakala menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua peraturan bermaksud segala yang telah ditentukan dan mesti diturut. Pekeliling dan peraturan sekolah ini telah disediakan di setiap sekolah rendah mahupun menengah bagi membendung masalah salah laku pelajar. Sebagai contoh, pekeliling dan peraturan untuk tingkah laku jenayah, kekemasan diri, ponteng, tingkah laku lucah dan sebaginya. Setiap tindakan yang diambil perlulah berdasarkan pekeliling dan peraturan yang telah disediakan. Pihak sekolah perlu peka terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pelajar sama ada kesalahan berat, sederhana ataupun ringan. Hal ini bagi mengurangkan masalah disiplin yang berlaku agar nama baik sekolah terpelihara.

            Kesimpulannya, tanggungjawab pengurusan tingkah laku dan disiplin pelajar bukan hanya terletak pada bahu seorang pengetua atau guru besar sesebuah sekolah semata-mata. Tanggungjawab ini merupakan tanggungjawab semua pihak khususnya guru-guru yang ada di sesebuah sekolah. Pengurusan masalah disiplin juga harus dilaksanakan dengan telus dan amanah oleh pihak sekolah sesuai dengan apa yang terkandung dalam pekeliling ikthisas dan peraturan sekolah bagi membentuk disiplin pelajar yang baik.       

RUJUKAN                                                                                                               

Abdul Malek Bilal Sidek. (1995). Pengurusan Sumber Pengajaran Dan Pembelajaran. Kuala      Lumpur: Darul Fikir.

 Definisi Tingkah Laku Devian. Diperoleh daripada   https://www.scribd.com/document/349968105/Definisi-Tingkah-Laku-Devian

Johari Talib, Maharam Mamat, Maznah Ibrahim & Zulkifli Mohamod. (2017). Perbaikan Tingkah Laku Bermasalah Kanak-Kanak Sekolah Rendah Melalui Terapi Kognitif-Tingkah Laku. Southest Asia Psychology Journal, 5, 1-11. Diperoleh daripada www.cseap.edu.my/sapj/index.php/journal/full/5-1.pdf

(2018). Pengurusan Tingkah Laku Dan Disiplin. Diperoleh daripada            http://myupsikps3014.blogspot.com/2018/11/bab-9-pengurusan-tingkah-laku-   dan.html

(2018). Pengurusan Tingkah Laku. Diperoleh daripada        http://ffoliokps.blogspot.com/2018/11/topik-9-pengurusan-tingkah-laku-dan_14.html


No comments:

Post a Comment

TOPIK 2: INTERAKSI DAN PEMBELAJARAN

TOPIK 2: INTERAKSI DAN PEMBELAJARAN Sesi pembelajaran diteruskan dengan topik ‘Interaksi dan Pembelajaran’. Secara umumnya, interaksi b...