Thursday, 11 April 2019

TOPIK 6: PENGURUSAN BILIK DARJAH


TOPIK 6: PENGURUSAN BILIK DARJAH


Bilik darjah merupakan medan perjuangan utama seorang guru dalam menjalankan tugas, peranan dan tanggungjawab. Seseorang guru akan diklasifikasikan sebagai tidak melaksanakan tugas sekiranya amanah ini diabaikan walaupun beliau merupakan seorang juara masyarakat yang paling komited di luar bilik darjah atau di luar sekolah. Pendek kata, pengurusan bilik darjah melibatkan proses penyusunan fizikal, galakan komunikasi dan interaksi yang bertujuan untuk mengendalikan pembelajaran murid di dalam kelas. Pengurusan bilik darjah ini merangkumi aspek murid, guru, ruang dan alat pembelajaran.

            Secara umumnya, terdapat beberapa isi penting yang dibincangkan dalam topik ini. Salah satu isi penting yang telah saya pelajari dalam tajuk pengurusan bilik darjah ini ialah aktiviti pengajaran berkumpulan. Aktiviti ini merupakan kaedah yang memerlukan pelajar menjalankan ativiti berkumpulan, pengelompokan murid dibuat berdasarkan peringkat kebolehan. Kebiasaannya, terdapat tiga jenis peringkat kecerdasan murid, iaitu pintar, sederhana dan lemah.  Antara prinsip pengajaran berkumpulan ialah guru bersedia menghadapi pelbagai situasi dan perhatian guru adalah sama rata kepada semua kumpulan. Sebagai contoh, guru boleh membuat aktiviti Gallery Walk, Peta Minda I-Think, Closure Feedback, dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk menggalakkan penglibatan aktif pelajar di dalam bilik darjah sekaligus dapat membantu pelajar yang lemah.

            Selain itu, penyediaan bahan pengajaran juga merupakan salah satu aspek dalam pengurusan bilik darjah. Bahan pengajaran ialah apa sahaja yang digunakan dalam pengajaran merangkumi alat da nisi pelajaran. Bahan pengajaran terbahagi kepada dua, iaitu bahan hidup dan bahan bukan hidup. Bahan hidup ialah manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, manakala untuk bahan bukan hidup adalah seperti elektronik (audio dan visual), bukan elektronik (bahan cetak), dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk merangsang minat murid serta mewujudkan situasi pembelajaran yang lebih berkesan.

            Bukan itu sahaja, aspek yang perlu ada dalam pengurusan bilik darjah ialah dari segi pengurusan sumber. Pengurusan sumber merupakan satu proses memilih, menyusun, mengguna dan menyimpan bahan serta alat supaya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar. Segala bahan dan alat dapat membantu guru mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Sebagai contoh, adanya ruang santai, sudut air minuman, sudut hasil kerja murid dan sebagainya. Pengurusan sumber ini bertujuan dalam mewujudkan suasana dan persekitaran pendidikan yang hidup dan mencabar serta dapat menimbulkan semangat murid untuk belajar. Prosedur menetapkan peraturan di bilik darjah sangat penting sebagai garis panduan kepada tingkah laku pelajar di bilik darjah yang diharapkan oleh guru pelatih. Jelaslah untuk mengurus bilik darjah dengan baik, guru pelatih perlu menetapkan peraturan di bilik darjah yang telah dipersetujui bersama oleh pelajar sebagai satu kontrak yang dapat mengawal tingkah laku mereka. Antara contoh peraturan yang perlu diwujudkan ialah seperti peraturan mengenai apa yang perlu dilakukan oleh pelajar ketika guru mengambil kedatangan pelajar, penggunaan cecair pemadam, bagaimana prosedur menjawab pertanyaan guru dan juga peraturan khusus apabila aktiviti kumpulan dijalankan. Kontrak yang ditandatangani ini akan dirujuk sekiranya pelajar melakukan kesalahan. Robertson (1989) menyatakan guru pelatih perlu yakin, tegas dan mengetahui tentang haknya untuk bertindak dalam menguruskan tingkah laku pelajar di bilik darjah. Oleh itu, guru pelatih perlu tegas dan konsisten dengan apa yang telah ditetapkan dalam prosedur peraturan tanpa ada pengecualian kepada mana-mana pelajar.

            Kesimpulannya, terdapat banyak lagi pendekatan yang boleh dipraktikkan untuk mengurus bilik darjah. Segalanya bergantung kepada situasi yang akan dihadapi oleh guru dalam realiti dunia pendidikan ketika berhadapan dengan pelajar. Untuk menguruskan bilik darjah dengan baik, guru memerlukan ketekalan, kesedaran tentang erti keadilan, semangat juang yang tinggi dalam memahami fasa psikologi dan tahap perkembangan pelajar, berfikiran terbuka dan bersedia untuk belajar dari kesalahan agar guru dapat mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah seterusnya kecemerlangan pelajar itu sendiri.

RUJUKAN

Ee Ah Meng. (2000). Pendidikan di Malaysia, Falsafah Pendidikan, Guru dan Sekolah (Edisi Kedua). Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Haliza Hamzah. (2014). Pengurusan bilik darjah dan tingkah laku. Selangor: Oxford Fajar          Sdn.Bhd.

Haslina Azli. Diperoleh daripada  https://www.academia.edu/7480264/Pengurusan_bilik_darjah_betul_

Noriati A.Rashid, Boon Pon Ying, Sharifah Fakhriah Ahmad. (2009). Murid dan Alam Belajar. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.


No comments:

Post a Comment

TOPIK 2: INTERAKSI DAN PEMBELAJARAN

TOPIK 2: INTERAKSI DAN PEMBELAJARAN Sesi pembelajaran diteruskan dengan topik ‘Interaksi dan Pembelajaran’. Secara umumnya, interaksi b...