TOPIK
12: PENGURUSAN PELBAGAI UPAYA
Menurut Kamus Dewan Edisi
Keempat, upaya bermaksud usaha untuk mencapai sesuatu tujuan, daya usaha, akal
dan ikhtiar. Pengurusan murid pelbagai upaya merupakan satu langkah yang
diambil untuk membantu murid-murid yang mengalami masalah dalam pembelajaran.
Secara amnya, pengurusan murid pelbagai upaya ini lebih terarah kepada program
pendidikan khas yang dijalankan ke atas peajar-pelajar yang mempunyai masalah
pembelajaran sama ada secara fizikal atau mental. Pendidikan khas itu sendiri
merujuk kepada program yang dibentuk untuk memenuhi keperluan pendidikan
murid-murid yang berkeperluan khas. Pendidikan khas juga merujuk kepada satu
pendekatan, rancangan pendidikan, strategi, kaedah dan teknik untuk mengajar
murid-murid istimewa kerana mereka tidak berupaya untuk mencapai target yang
sepatutnya daripada program sekolah aliran perdana.
Kajian
mengenai pengurusan murid pelbagai upaya ini memfokuskan kepada tiga subtopik,
iaitu pemulihan, pelbagai kecerdasan dan berkeperluan khas. Program pemulihan diwujudkan atas arahan Kementerian Pelajaran Malaysia yang bertujuan untuk
memastikan murid-murid yang menghadapi masalah dalam pembelajaran mampu
belajar sekiranya guru-guru menggunakan kaedah pembelajaran yang sewajarnya.
Manakala, pelbagai kecerdasan ialah teori yang diperkenalkan oleh seorang
tokoh barat iaitu Howard Gardner. Teori ini membincangkan tentang pelbagai
keupayaan yang dimiliki oleh murid yang mempunyai kecerdasan dan kepintaran
luar biasa. Aspek ketiga yang diberi tumpuan dalam kajian ini ialah bekeperluan
khas. Melalui topik ini, pelbagai masalah pembelajaran dibincangkan seperti
masalah disleksia, hiperaktif, sindrom down, autisme dan kerencatan mental.
Selain itu, aspek murid pintar cerdas juga turut diberi penekanan dalam kajian
ini.
Secara
umumnya, Program Pemulihan Khas telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) semenjak tahun 1960-an bagi membantu murid-murid di sekolah
rendah yang menghadapi masalah khusus dalam pembelajaran, iaitu menguasai
kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). Pada tahun 1983, sistem
pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR).
Kurikulum baru ini merupakan satu usaha untuk kembali semula kepada asas
pendidikan dengan memberi fokus kepada kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).
Murid-murid yang tidak menguasai 3M dibantu melalui aktiviti pemulihan dalam
kelas. Menurut KPM (2001), “Program Pemulihan Khas merupakan satu program
pendidikan disediakan untuk murid yang mengalami masalah dalam penguasaan
kemahiran asas 3M yang kompleks disebabkan oleh faktor persekitaran. Program
ini dijalankan oleh guru yang khusus, di ruang yang khusus” (ms.3).
Selain
itu, pelbagai kecerdasan pula merupakan salah satu teori yang dipelopori oleh Profesor
Psikologi dari Universiti Harvard, iaitu Howard Gardner. Pada tahun 1997,
beliau telah menambah satu lagi kecerdasan, iaitu kecerdasan naturalis. Menurut
Gardner, setiap insan mempunyai bukan satu tetapi lapan kecerdasan yang
berbeza. Teori Pelbagai Kecerdasan mempunyai pengaruh signifikan dalam pendidikan
serta membawa kesan penting pembelajaran organisasi. Menurut beliau, kebanyakan
ujian IQ hanya mengukur kebolehan verbal atau bahasa dan pemikiran logikal atau
matematikal. Kemahiran lain seperti sosial, interpersonal dan emosi yang
membolehkan manusia berfungsi dengan berkesan telah dikecualikan daripada ujian
IQ tradisional. Horward Gardner percaya manusia mempunyai pelbagai kecerdasan
atau kehebatan tersendiri seperti kecerdasan Logik-Matematik, kecerdasan
Verbal-Linguistik, kecerdasan Muzikal, kecerdasan Visual-Spatia, kecerdasan
Kinestatik, kecerdasan Interpersonal, kecerdasan Intrapersonal dan kecerdasan
Naturalis.
Seterusnya,
Pendidikan khas adalah program atau perkhidmatan yang direka khas bagi
melengkapkan keperluan seseorang individu yang luar biasa dan memerlukan
bahan-bahan pengajaran khas, teknik pengajaran yang luar biasa serta
kemudahan-kemudahan yang tertentu (Kauffman & Hallahan, 2005). Peter,
Emeliana & Mohd Sofi (2010) pula menyatakan bahawa murid khas atau individu
istimewa merupakan sekumpulan murid yang kurang upaya dan mengalami masalah
pembelajaran. Pelbagai istilah yang digunakan terhadap invidu berkeperluan khas
seperti individu luar biasa, individu kurang upaya, individu yang mengalami
kecacatan, individu istimewa dan individu yang berisiko. Namun begitu,
pendidikan khas dalam konteks Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
dilaksanakan melalui sekolah khas untuk murid bermasalah penglihatan dan
pendengaran. Manakala, bagi individu bermasalah pembelajaran pula ditempatkan
di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang merupakan program pendidikan
khas di sekolah arus perdana (Bahagian Pendidikan Khas, 2014).
Kesimpulannya,
pelajar-pelajar pelbagai upaya memerlukan pengajaran pada kelajuan yang sesuai,
kerja kognitif yang berpatutan, standard prestasi yang realistik dan peluang
sesuai untuk mereka mencapai potensinya. Walaubagaimanapun, kanak-kanak pintar
cerdas tidak seharusnya diasingkan dengan kanak-kanak normal kerana kita tidak
boleh wujudkan pengasingan sosial (social isolation) kepada mereka. Hal ini
dikatakan demikian kerana kesedaran sosial datang bersama pengalaman.
RUJUKAN
Bahagian Pendidikan Khas. (2012). Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas: Kementerian Pelajaran Malaysia. Diperoleh daripada https://pemulihankedah.weebly.com/garis-panduan-pelaksanaan-program-pemulihan-khas.html
Chiang Ee Fong. (2018). Dari Pendidikan Khas ke Pendidikan Pemulihan: Dua Program Masalah Pembelajaran. Analitika, 10(1), 46-53. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/.../327470740_Dari_Pendidikan_Khas_ke_Pendidikan_Pe...
Mohammed Zin Nordin & Mohd Taib Ariffin. (2012). Kemahiran Komunikasi. Selangor: Emeritus Publications.
Bahagian Pendidikan Khas. (2012). Garis Panduan Pelaksanaan Program Pemulihan Khas: Kementerian Pelajaran Malaysia. Diperoleh daripada https://pemulihankedah.weebly.com/garis-panduan-pelaksanaan-program-pemulihan-khas.html
Chiang Ee Fong. (2018). Dari Pendidikan Khas ke Pendidikan Pemulihan: Dua Program Masalah Pembelajaran. Analitika, 10(1), 46-53. Diperoleh daripada https://www.researchgate.net/.../327470740_Dari_Pendidikan_Khas_ke_Pendidikan_Pe...
Diperoleh daripada http://muhamadaizat.blogspot.com/p/pengurusan-murid-pelbagai-upaya.html
Mohammed Zin Nordin & Mohd Taib Ariffin. (2012). Kemahiran Komunikasi. Selangor: Emeritus Publications.
Siti Nor Idayu Mohd Nassir. (2016). Pelaksanaan Program Transisi Kerjaya (PTK)
Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Masalah Pembelajaran (MP)
(Disertasi Tesis Sarjana). Diperoleh daripada https://www.eprints.uthm.edu.my/8913/1/SITI_NOR_IDAYU_BINTI_MOHD_NASSIR.pdf
No comments:
Post a Comment